BOLEHKAH SOLAT TERAWIH + WITIR HANYA 11 RAKAAT?

By | 7:24 PM Leave a Comment



Hal ini ada keluasannya. Jangan berbalah sehingga menafikan solat 11 ataupun 20 rakaat.

Berdasarkan riwayat yang sahih dalam al-Muwata karya al-Imam Malik bin Anas, bilangan rakaat yang Saidina Umar perintah untuk dilaksanakan adalah sebelas rakaat. Kata al-Saib bin Yazid:

“Umar telah memerintahkan Ubai bin Ka’ab dan Tamim al-Dari untuk menjadi imam kepada orang ramai sebanyak sebelas rakaat” (Riwayat Malik).

Maka dengan itu riwayat al-Baihaqi melalui Yazid bin Khasifah daripada al-Saib bin Yazid yang menyebut bilangan yang ‘Umar perintahkan sebanyak dua puluh rakaat adalah bercanggah dengan riwayat sebelas rakaat yang sahih tadi. Sedangkan dari segi kekuatan riwayat (sanad), riwayat sebelas rakaat itu lebih kuat, maka kalangan ulama hadis ada yang menganggap riwayat dua puluh shaz (ganjil) kerana menyanggahi rawi yang lebih kuat.

Justeru, riwayat dua puluh dihukum daif oleh sesetengah ahli hadis. Sebahagian pula menerima riwayat 20 rakaat Yazid bin Khasifah dan mentakwilkan bahawa ada hari Umar memerintahkan sebelas rakaat dan ada hari pula yang diperintahkan 20 puluh. 

Apapun, hadis al-Imam Malik tadi yang menyebut sebelas rakaat menafikan dakwaan yang menyatakan sesiapa yang solat tarawih beserta witir sebelas rakaat tidak sah.

Sebenarnya, para ulama salaf solih sendiri berbeza pendapat tentang bilangan rakaat bagi solat tarawih bersama witir. Antaranya, pendapat yang menyatakan empat puluh satu, tiga puluh sembilan, dua puluh sembilan, dua puluh tiga, tiga belas dan sebelas. Adapun dari segi riwayat amalan Nabi s.a.w, Ummul Mukminin Aishah r.aha ditanya mengenai solat Rasulullah s.a.w pada bulan Ramadan, jawab beliau:

“Rasulullah s.a.w tidak pernah melebihi sebelas rakaat samada dalam bulan Ramadan ataupun selainnya”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini juga menunjuk perbuatan mencela solat tarawih sebelas rakaat adalah tidak sepatutnya. Bahkan ramai juga ulama hadis yang mengutamakan bilangan sebelas rakaat ini sebagai mencontohi Rasulullah s.a.w.

Saya bersetuju dengan pendapat bahawa tiada had rakaat yang ditetapkan oleh Nabi s.a.w. dalam hal ini. Seseorang beribadah berdasarkan kemampuannya. Nabi s.a.w tidak pernah menetapkan, bahkan memberikan keluasan dalam hal tersebut dengan menyatakan solat malam dua rakaat, dua rakaat sehingga apabila hendak masuk subuh berwitirlah. Lajnah Tetap dan Kajian Ilmiah serta Fatwa, Arab Saudi sendiri ketika mengulas hal menyebut:

“Tiada menjadi salah untuk menambah lebih dari sebelas kerana Nabi s.a.w tidak pernah menghadkannya sedikit pun. Bahkan apabila ditanya tentang solat malam baginda menyebut: “Dua rakaat, dua rakaat (secara dua rakaat setiap solat), jika seseorang kamu bimbang masuk waktu subuh, maka solatlah satu rakaat sebagai witir kepada apa yang telah dia solat sebelum” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam hadis ini baginda tidak menghadkan sebelas atau selainnya. Ini menunjukkan ada keluasan dalam solat malam pada Bulan Ramadan atau selainnya”. (Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 7/195, Riyadh: Riasah Idarah al-Buhuth).



Sumber : Facebook Dr.MAZA ( Dr. Mohd Asri Zainul Abidin)
Newer Post Older Post Home

0 comments:

Click me